OKTOBER 2022

Terokai Peluang Perniagaan Di Kazakhstan


KUCHING: Republik Kazakhstan yang sedang giat menerokai teknologi hidro untuk kelestarian tenaganya membuka peluang kepada usahawan tempatan agar terlibat sama dalam pertumbuhan ekonomi republik berkenaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penglibatan usahawan tempatan dalam sektor itu akan menyokong rancangan pembangunan Kazakhstan.

Fokus negara terbabit serupa dengan matlamat negeri Sarawak untuk meningkatkan KDNK di samping menggalakkan kelestarian tenaga boleh diperbaharui dan memaksimumkan perkembangan pengdigital, katanya berucap pada Forum Peluang Perniagaan di Kazakhstan di sini.

Forum Peluang Perniagaan di Kazakhstan dengan sokongan Duta Kazakhstan dan Konsulat Kehormat Kazakhstan di Sarawak boleh membantu melicinkan lagi hubungan dagangan antara negara terbabit dengan Sarawak, katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pelaburan berkata, pada 2021, eksport Malaysia ke Kazakhstan bernilai USD88.5 juta terdiri daripada barangan elektrik, elektronik, getah, pertanian dan produk berasaskan minyak sawit.

Manakala nilai import dari Kazakhstan ke Malaysia ialah USD10.8 juta terdiri daripada barangan keluli, peralatan pengangkutan, kimia dan produk kimia, jentera dan produk petroleum.

Beliau berkata, Sarawak kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan bagi barangan kilang di Malaysia.

Pada 2020 dan 2021, katanya, Sarawak mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM23.17 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik dan pelabur mendapati Sarawak memiliki banyak kelebihan.

Sarawak, katanya, berusaha mewujud masyarakat berdaya saing dengan mengecapi kemakmuran bersama, masyarakat inklusif dan kelestarian persekitaran digerak oleh data dan inovasi menjelang 2030.

Untuk mencapai matlamat itu, katanya, Sarawak melaksanakan program Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk membangun dan mengembangkan semula pertumbuhan ekonomi selepas berhadapan dengan pandemik.

Hadir sama Duta Republik Kazakhstan di Kuala Lumpur, Bulat Sugurbayev dan Konsulat Kehormat Kazakhstan di Sarawak, Dato’ Dr. TS Daud.

Sumber dari : Jiwa Bakti